Jumaat, 7 Januari 2011

Cerpen-Kitab Buruk (II)

   "Sadaqallahulazim", Hafiz menutup kitab buruk yang telah digunakannya untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebentar tadi. Jam berdenting 8 kali menandakan pukul 8 malam. Angin pada malam itu sungguh nyaman. Suasana keheningan malam dipecahkan dengan bunyi unggas dan cengkerik yang sering kali berbunyi pada setiap malam. Di luar, angin malam menderu, bertemankan geseran ranting-ranting kering seperti bunyi kuku mencakar-cakar pada kaca tingkap.

   "Masih ada masa lagi sebelum masuk waktu Isya', bolehlah aku tidur sebentar sementara menunggu waktu Isya' masuk", Hafiz bercakap dengan suara yang agak rendah. Selepas beberapa minit, Hafiz tertidur di sofa kerana terlalu letih dengan kerjanya pada petang tadi.

   "Ummi! Ummi! Bangunlah ummi! Ummi!!", suara tangisan Hafiz, hazirah dan hazim bergema di dalam rumah buruk mereka yang bagaikan pondok. Kelihatan penduduk kampung sedang membacakan surah Yassin kepada satu jasad yang tidak mampu bergerak lagi. "Woi, kenapa kau orang baca Yassin, mak aku belum mati lagi", jerit Hafiz kepada penduduk kampung. "Sudahlah tu nak, ibu kamu dah tiada lagi, kamu semua harus reda dengan pemergiannya. Ini semua merupakan kehendak-Nya, kita langsug tidak boleh menentang", pujuk abi menenangkan ketiga-tiga orang anaknya yang masih kecil.

   "Tapi abi, ummi dah tak ada lagi abi, ummi dah tak ada lagi", Hafiz terus meraung dengan lebih kuat. Tangisan Hafiz seakan-akan tenggelam dalam kesepian malam yang tidak berpenghujung.

   "Abang, abang, abang", kejut Sofia, isteri kepada Hafiz. Hafiz serta-merta bangun dalam keadaan yang agak mamai. "Sudah pukul berapa sekarang?", tanya Hafiz kepada isterinya. "Sudah pukul 8.30, bang. Isya' pun dah masuk. Fia tengok abang macam mengigau masa abang tengah tidur tadi. Abang mimpi apa?", tanya Sofia kepada suaminya. "Tak ada apa-apa, abang cuma mimpi ngeri, tak ada apa yang awak perlu risau", jelas Hafiz kepada isterinya.

   Hafiz bingkas bangun untuk menunaikan solat Isya'. Pada masa yang sama, halaman muka surat kitab buruk yang dipegangnya terjatuh dan bertaburan di atas lantai. "Subhanallah", terpacul perkataan itu daripada mulut Hafiz dan Sofia. Mereka segera memungut helaian muka surat yang bersepah di atas lantai itu. "Itulah bang, saya dah cakap, beli saja kitab yang baru. Kitab ni dah buruk sangat, awak guna kitab ni sejak kita mula-mula kahwin dulu. Sekarang cuba abang tengok, halaman muka surat kitab ni pun dah terpisah daripada kulitnya", bebel Sofia kepada Hafiz.

   "Maaf, abang tak dapt berbuat dengan begitu", Hafiz menjawab dengan nada suara yang agak rendah.